Ketahui Tanda-Tanda Kematian Semakin Menghampiri

Mati. Ramai yang kadangkala lupa bahawa pengakhiran seorang manusia itu, samada dia beriman kepada Allah S.W.T mahupun tidak ialah mati. Inilah pengakhiran di dunia. Dan mati ini menjadi permulaan ke satu alam baharu dinamakan Alam Barzakh.

Sebagai seorang Muslim, kita sangat berharap dan mendambakan yang kematian yang akan kita lalui adalah satu kematian yang baik. Kita mahupun kematian kita bukan sekadar satu roh meninggalkan jasad, tetapi dapat memberikan ingatan kepada orang lain bahawa mati itu pasti.

Tanda-Tanda Kematian Semakin Hampir

Tanda kematian semakin hampir

Ada satu kisah yang menceritakan mengenai kematian ini. Malah, kisah ini juga menceritakan bagaimana malaikat maut datang untuk mencabut nyawa seorang manusia. Mari sama-sama ambil ikhtibar dan seterusnya mengetahui berkaitan tanda-tanda kematian itu semakin hampir.

Bagaimana Malaikat Maut Itu Datang Mencabut Nyawa?

Baginda Rasullullah S.A.W pernah bersabda (yang bermaksud): "Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil di dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut.

Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar.

Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.

Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:

"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibril A.S. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibril A.S."

"Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibril A.S. akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya."

Inilah antara gambaran apabila sakaratulmaut itu sudah semakin hampir dengan seseorang. Walaupun ada dua gambaran diberikan, ia tetap menampakkan bahawa seseorang itu di saat kematiannya akan melupakan orang-orang yang berada di sekelilingnya.

Petanda saat kematian semakin hampir

Mata mereka akan memandang ke satu arah - samada dengan pandangan yang tenang atau dengan pandangan yang menakutkan. Itulah tanda kenampakkan apa yang Allah S.W.T ingin seseorang itu lihat sebelum saat akhirnya di dunia.

Dalam sebuah hadith yang lain, mengatakan (yang bermaksud); "Bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:

"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T."

Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain."

Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluarlah penulisan ilmu.

Maka berkata tangan: "Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir."

Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata, maka mata pun berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."

Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T.

Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu."

Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Begitulah kisah mengenai saat-saat hampirnya kematian yang masyhur diceritakan. Jelas, amalan yang baik akan mampu memberikan kelebihan kepada seorang muslim yang sentiasa ingat kepada Allah S.W.T.

Jagalah pancaindera kita dan anggota tubuh kita yakni kaki, tangan, mata, telinga dan mulut agar sentiasa melakukan perkara-perkara bermanfaat dan baik. Dengan cara ini, ia akan menjadi saksi kepada Allah S.W.T akan segala perbuatan yang baik yang pernah kita buat semasa hidup.


Tanda 100 Hari Sebelum Meninggal

Ini adalah tanda pertama dari Allah S.W.T kepada hambaNya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakiNya. 100 hari sebelum hari meninggal dunia, seseorang akan mendapat tanda ini, namun hanya segelintir sahaja yang akan menyedarinya.

Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar, seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut hingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan menggigil, contohnya seperti lembu yang baru saja disembelih di mana jika diperhatikan dengan teliti, kita akan mendapati lembu tersebut seakan-akan bergetar.

Tanda ini amnya akan terasa nikmat dan bagi mereka yang menyedari akan tanda kematian ini akan terdetik di hati bahwa mungkin ini adalah tanda kematiannya yang semakin hampir, maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah ianya disedari.

Maka, diperlengkapkan diri dengan segala yang perlu sebelum sampai ke saat tamatnya 100 hari tanda ini, contohnya melunaskan hutang, bersedekah, melaksanakan wasiat dan sebagainya. Beruntunglah mereka yang mendapat tanda kematian ini, malah akan dapat meringankan beban kepada keluarga yang ditinggalkan kelak.

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu saja tanpa ada apa-apa manfaat.

Seandainya kita diberikan oleh Allah akan petanda ini 100 hari sebelum kematian, maka jadikan ia satu peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari Sebelum Meninggal

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar, bahagian pusat akan terasa berdenyut-denyut. Ini adalah tanda pada ketika tersebut daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas arash Allah S.W.T. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mulai membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mulai mengikuti kita sepanjang masa.

Ini antara tanda sakaratulmaut semakin dekat. Dalam ketika 40 hari sebelum kematian, akan terjadi satu peristiwa di mana malaikat maut memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih untuk merasainya akan berada di dalam keadaan bingung dan tidak tentu arah.

Tanda 7 Hari Sebelum Meninggal

Tanda tujuh hari sebelum meninggal hanya diberikan kepada mereka yang diuji dengan musibah seperti kesakitan, iaitu sewaktu dia sedang sakit dan tidak selera untuk menjamah makanan, secara tiba-tiba akan berselera untuk makan.

Tanda 7 hari sebelum kematian ini memang amat jelas, dan jika terlihat akan tanda ini, maka buatlah segala persediaan. Biasanya, orang yang menyedari akan tanda ini adalah mereka yang menziarahi orang sakit.

Jika menyedari, doakan yang baik-baik kepada orang itu, dan ajaklah agar sama-sama sentiasa mengingati Allah S.W.T dengan berzikir dan beristighfar.

Tanda 3 Hari Sebelum Meninggal

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahgian tengah dahi iaitu di antara dahi kanan dan kiri, jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.

Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi.

Telinga akan kelihatan layu, bahagian hujungnya akan beransur-angsur masuk ke dalam. Telapak kaki yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar untuk ditegakkan.

Tanda 1 Hari Sebelum Meninggal

Akan berlaku sesudah Asar seperti mana tanda-tanda yang disebutkan sebelum ini. Tanda kematian itu sudah sangat hampir ialah ketika kita merasakan satu denyutan di sebelah belakang aitu di kawasan ubun-ubun kepala di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda Akhir Hidup

Akan terjadi keadaan bahawa kita akan merasakan sejuk di bahagian pusat dan rasa itu akan turun sehingga ke bahagian pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum.

Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri iaitu qiam. Berserah diri kepada Allah dan nantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Yang Maha Esa.

Kesimpulan - 9 Tanda Akhir Sebelum Tiba Saat Kematian


Secara kesimpulannya, tanda-tanda kematian tersebut adalah secara ringkasnya seperti di bawah ini"

  1. 100 hari: Seluruh badan rasa bergegar/bergetar.
  2. 60 hari: Pusat rasa bergerak-gerak.
  3. 40 hari: Daun dengan nama orang yang akan mati di arash akan jatuh dan malaikat maut pun datang kepada orang dengan nama tersebut lalu akan mendampinginya sehingga saat kematiannya. Kadang-kadang orang yang akan mati itu akan merasa atau nampak kehadiran malaikat maut tersebut dan akan sering kelihatan seperti sedang rungsing.
  4. 7 hari: Mengidam makanan.
  5. 5 hari: Anak lidah bergerak-gerak.
  6. 3 hari: Bahagian tengah di dahi bergerak-gerak.
  7. 2 hari: Seluruh dahi rasa bergerak-gerak.
  8. 1 hari: Terasa bahagian ubun bergerak-gerak di antara waktu subuh dan asar.
  9. Saat akhir: Terasa sejuk dari bahagian pusat hingga ke tulang solbi (di bahagian belakang badan.).

Begitulah pengetahuan manusia berkaitan tanda-tanda kematian atas izin Allah S.W.T. Pengetahuan ini tetap terbatas kerana hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui berkaitan hal ghaib yang di luar bidang dan keupayaan akal manusia.

Namun, Allah itu Maha Adil dan Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang. Allah S.W.T akan memberikan peluang terakhir buat umat Nabi Muhammad S.A.W untuk bertaubat dan bersedia menghadapi kematian - atas kehendakNya.

Begitu Allah sayangkan kita semua, sehinggakan maklumat rahsia tanda-tanda kematian ini juga diberitahu supaya kita kekal ingat terhadapNya di saat akhir menghembuskan nafas.

Sesungguhnya ingatan ini adalah untuk kita semua yang mahu mengingati mati, dan mengingati mati itu adalah tanda-tanda orang bertakwa kepada Allah S.W.T. Jadikan artikel ini sebagai panduan untuk mengingatkan bahawa mati itu pasti dan sentiasa melakukan apa yang Allah perintahkan dan tinggalkan apa yang Allah larang.

In Sha Allah. Allahualam.

Post a Comment

0 Comments